Agrowbionest keluarkan 10,000 produk sarang burung sebulan

TASEK GELUGOR 18 April – Agrowbionest Sdn. Bhd., syarikat Bumiputera yang terlibat dalam industri sarang burung walit menyasarkan pengeluaran kira-kira 10,000 produk terdiri daripada enam jenis produk produk sarang burung sebulan pada tahun ini.

Pengarahnya, Dr Zubaidah Bee Abdul Gazee berkata, syarikat yang ditubuhkan pada 2009 itu, kini mengeluarkan produk sarang burung jeli, air yang diperbuat dari sarang burung termasuk sarang burung yang telah diproses dan dijual dalam bentuk abalone, half moon, wafer danwhole piece.

“Satu lagi produk, iaitu minuman segera sarang burung akan dipasarkan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, syarikat itu dijangka dapat menembusi pasaran antarabangsa tahun depan ke China dan Hong Kong.

Katanya, pasaran produk sarang burung, yang dahulunya terkenal di kalangan kaum Cina kerana khasiatnya, kini semakin luas kerana produk itu kini telah mendapat sambutan dari kaum lain.

“Sarang burung ini mampu mengubati pelbagai penyakit antaranya kanser, hepatitis B, asma, membetulkan sistem urat saraf dan perjalanan darah termasuk memutih dan melicinkan kulit,” katanya.

Menurutnya, syarikat itu memproses sarang burung secara organik menggunakan prosesozonization.

Katanya, syarikat itu, yang beroperasi di Sungai Dua, di sini, dibantu oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dalam pembungkusan, pemasaran dan analisis makmal.

“Syarikat ini telah mendapat Sijil ISO dan Sijil Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Oleh itu, orang Islam tidak perlu was-was untuk menggunakan produk ini,” katanya.

“Geran untuk memulakan syarikat berkenaan diperolehi daripada SME Corp pada 2009,” katanya.

Beliau berkata, industri sarang burung walit negara kini bernilai RM1 bilion setahun dan pasaran dunia dianggarkan bernilai RM10.2 bilion setahun. – Bernama