Penduduk Gua Musang 
siap sedia hadapi banjir besar

TARMIZI ISMAIL (kiri) bersama Hisham Mustafa (tengah) dan Ibrahim

 

TARMIZI ISMAIL (kiri) bersama Hisham Mustafa (tengah) dan Ibrahim Ismail memeriksa bot mereka bagi menghadapi banjir di Kampung Batu Papan, Gua Musang, Kelantan, semalam. UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG 9 Nov. – Kira-kira 5,000 penduduk di beberapa buah kampung di daerah ini yang berisiko terdedah dengan banjir sudah bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh yang dijangka berlaku pada hujung bulan ini.

Pengalaman berdepan musibah banjir besar tahun lalu menjadi pengajaran berguna kepada penduduk apabila mereka telah membuat persiapan awal sejak sebulan lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa buah kampung di sini mendapat penduduk telah membuat persiapan awal dengan menyediakan bot, membina rumah untuk mangsa berpindah sekiranya berlaku banjir dan telah menyimpan barang di kawasan yang lebih selamat.

Antara kampung yang berisiko sekiranya berlaku banjir adalah Kampung Batu Papan, Kampung Kundur, Kampung Kerinting, Kampung Bertam Lama, Kampung Bertam Baru, Kampung Limau Kasturi dan Kampung Tiong.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKP) Batu Papan, Tarmizi Ismail berkata, banjir tahun lalu sehingga menyebabkan 185 buah musnah menyebabkan penduduk di sini masih trauma.

Katanya, pada tahun ini, penduduk bersama pihak berwajib telah mengambil pendekatan bersedia awal berhadapan musibah banjir ini.

“Bagi Kampung Batu Papan, kita telah menyediakan sebanyak tiga buah bot bagi kemudahan penduduk kampung jika berlakunya kecemasan.

“Selain itu, kita juga telah mengenal pasti beberapa buah rumah sebagai tempat pemindahan, memasang khemah dan membina gudang sebagai tempat menyimpan bekalan makanan,” katanya.

Seorang pengusaha burung walit, Hisham Mustafa, 44, berkata, dia telah membelanjakan lebih RM15,000 untuk menyediakan dua buah bot sebagai kemudahan penduduk kampung dalam menghadapi banjir.

Hisham juga turut menyediakan ruangan di tingkat atas rumahnya sebagai tempat pemindahan untuk mangsa banjir yang dapat menampung sekurang-kurangnya 100 penduduk.

“Pengalaman banjir lepas menyebabkan kami lebih berwaspada tahun ini. Saya melihat kebanyakan penduduk tidak mempunyai bot, jadi saya menyediakan kemudahan itu untuk membantu penduduk kerana bencana banjir merupakan masalah bersama,” katanya.

Sementara itu, Imam Tua Masjid Kampung Batu Papan, Ibrahim Ismail, 54, pula berkata,dia bersama jemaah telah memulakan solat hajat bagi memohon supaya banjir besar tidak berulang kembali tahun ini.

“Penduduk kampung bersikap berwaspada dan nasihat-menasihati antara satu sama lain untuk menghadapi musim tengkujuh.

“Saya berharap penduduk yang tinggal di pinggir sungai juga tidak panik dan mengikut arahan pihak berkuasa jika mendapat arahan untuk berpindah,” katanya.

Tinggalkan komen