Semua pihak mesti main peranan tingkat ekonomi negeri

30 September 2014 2:25 AM

wb_04 : NASIR Sakaran (dua dari kiri) bersama Sairin Karno (tiga dari

NASIR Sakaran (dua dari kiri) bersama Sairin Karno (tiga dari kiri) menunjukkan produk sarang burung Gold Emperor dalam majlis Inovasi Teknologi Industri Walit dan pelancaran produk Sarang Burung Kinabalu di Kota Kinabalu, kelmarin.
KOTA KINABALU 29 Sept. – Ke-langsungan pembangunan ekonomi negeri tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada kemampuan kerajaan sebaliknya turut dimainkan oleh setiap lapisan masyarakat menerusi bidang niaga yang diceburi.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco), Datuk Seri Nasir Sakaran berkata, bagi mereka yang berkhidmat dengan sektor kerajaan atau swasta pula, secara langsung mereka merupakan kumpulan sumber manusia yang bertanggungjawab menyokong produktiviti majikan.
Demikian juga jelasnya, mereka yang bekerja sendiri, turut mempunyai peranan melalui bidang perniagaan masing-masing.
“Keadaan sumber mentah yang semakin berkurangan telah memberi kesan kepada pertumbuhan lebih ramai usahawan berjaya. Sehubungan itu, sudah sampai masanya bagi para usahawan lebih berinovasi menghasilkan produk berasaskan sumber mentah yang semakin meruncing kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Inovasi Teknologi Industri Walit dan pelancaran produk Sarang Burung Kinabalu di sini semalam.
Yang turut hadir, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Sairin Karno; Penaung Kumpulan Walit negeri, Datuk Seri Jenar Lamdah dan Pengasas Kinabalu Bird Nest (KBN), Zarina Zakaria.
Nasir memberitahu, seperti yang terkandung dalam Model Baharu Ekonomi (MBE) yang bertujuan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, ini menuntut usahawan digerakkan agar ekonomi negara sentiasa dinamik, sekali gus memperkukuhkan produktiviti.
“Oleh itu, usaha yang bersepadu perlu diambil bagi menerapkan nilai dan budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat.
“Tetapi cabaran itu menjadi semakin hebat dengan keadaan ekonomi global yang tidak stabil ketika ini. Kita bukan sahaja perlu menumpukan kepada inisiatif untuk melahirkan usahawan semata-mata tetapi perlu juga memberi perhatian kepada usaha-usaha membentuk usahawan yang berkualiti,” tambahnya.
Mengambil contoh usaha yang dilakukan syarikat KBN, katanya, kemampuan syarikat itu mengatasi cabaran membuktikan bidang perniagaan yang kurang diceburi telah menarik ramai usahawan berjaya.
“Kejayaan itu mampu diperhebat dengan penekanan aspek inovasi dalam setiap produk keluaran syarikat untuk terus menembusi pasaran dalam dan luar negara,” ujarnya.

Tinggalkan komen