7 syarikat melabur Bio Desaru

 

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

 

NUSAJAYA 3 Julai – Pembangunan biopertanian berintegrasi, Bio Desaru yang dibangunkan di Lembah Makanan Organik di Kota Tinggi, dekat sini berjaya menarik tujuh syarikat tempatan dan antarabangsa untuk melabur sejak dilancarkan tiga tahun lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, ketujuh-tujuh syarikat itu dijangka membelanjakan RM235.9 juta bagi pelaburan secara berperingkat di atas kawasan seluas 711 hektar.

Katanya, kesemua syarikat itu dijangka mampu menghasilkan pengeluaran berjumlah RM85 juta setahun pada tahun kelima ia beroperasi.

“Bidang tumpuan tujuh syarikat berkenaan adalah berbeza meliputi tanaman herba berintegrasi, sayuran, tanaman hiasan, ternakan burung walit, lada hitam, ternakan kambing pedaging dan tenusu serta ternakan ikan arowana.

“Beberapa pelabur telah memulakan operasi, antaranya, J-Biotech Nandan Herbal Sdn. Bhd. dengan tanaman herba dan J-Biotech Ecofirst Agro Sdn. Bhd. sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan tapak untuk tanaman jagung, cili dan sayuran berdaun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Samsol Bari Jamali (BN-Semarang) dan Hamimah Mansor (BN-Penawar) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.

Abdul Ghani berkata, pembangunan yang diterajui Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Johor (J-Biotech) itu sedang dalam proses mengadakan rundingan bersama 10 syarikat pelaburan lain yang berminat dengan projek itu.

Beliau berkata, sekiranya kesemua pelabur baru itu bersetuju, mereka dijangka melabur lebih RM800 juta secara berperingkat di kawasan seluas 1201 hektar.

“Sekiranya berjalan lancar, mereka dijangka mampu menghasilkan pengeluaran tahunan bernilai lebih RM1.5 bilion selepas empat tahun beroperasi,” katanya.

Menurut Abdul Ghani, syarikat-syarikat tersebut dijangka terlibat dalam pengeluaran daging lembu dan tenusu, ternakan ikan laut, telur dan anak ayam serta benih akuakultur.

Katanya, pembangunan yang dibina di tapak seluas 3,642 hektar itu dijangka dapat meningkat lagi pengeluaran makanan organik di Johor selain mengurangkan penggantungan negara terhadap import bahan makanan.

Abdul Ghani menjelaskan, Bio Desaru telah memulakan kerja-kerja awalan seperti pembinaan prasarana asas terutama jalan ladang, kerja-kerja demarkasi tanah dan pembersihan tanah.

Tinggalkan komen