Program pendaftaran industri burung walet

Posted: Disember 12, 2012 in Uncategorized

Antara produk berasaskan sarang burung yang dihasilkan daripada industri walet.

INDUSTRI burung walet di negara ini terus berkembang dan mampu memberi pendapatan lumayan kepada pengusaha atau pemilik ladang.

Industri tersebut agak unik kerana pengusaha tidak perlu menternak burung berkenaan, sebaliknya hanya perlu menyediakan rumah untuk membuat sarang.

Oleh itu, pengusaha tidak perlu mengeluarkan modal kecuali untuk penyediaan rumah manakala produk daripada industri hanyalah sarang yang dijual.

Harga sarang burung walet boleh mencecah RM7,000 bagi yang telah dibersihkan manakala yang masih mentah sekitar RM4,000 sekilogram.

Nilai industri ini mencecah angka bilion melibatkan anggaran 50,000 premis ladang walet dengan 70 peratus daripadanya aktif dalam pengeluaran sarang burung.

Demikian menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang juga Ketua Seksyen Aneka Haiwan Bahagian Pembangunan Komoditi Ternakan JPV, Dr. Mohd. Noor Hisham Mohd. Haron kepada wartawan Mega di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Bagaimanapun populasi burung walet tidak dapat dianggarkan dan ada cubaan menternaknya sebelum ini tetapi tidak menampakkan kejayaan.

Menurut beliau, jumlah burung walet di sesuatu kawasan bergantung kepada sumber makanan yang ada di sekitar kawasan tersebut. Burung biasanya terbang dalam radius 50 kilometer.

Oleh itu faktor sumber makanan menjadi perkara penting dalam industri burung walet dengan serangga menjadi makanan utamanya.

Namun, di sebaliknya nilai yang lumayan dan potensi besar untuk menjana ekonomi, industri tersebut berdepan dengan beberapa cabaran asas khususnya mengenai aspek pengeksportan.

Menyedari kepentingan industri tersebut Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berusaha membantu industri bagi membolehkan industri tersebut berkembang dan menguntungkan pengusaha.

Dalam hal ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan hal tersebut dengan mengambil beberapa langkah yang perlu bagi membantu industri berkenaan.

Satu langkah yang telah diambil ialah mewujudkan Garis Panduan Pembangunan Industri Burung Walet (1GP) yang antara lain menjelaskan kriteria yang perlu dipatuhi berhubung penjagaan premis perladangan, premis pemprosesan dan kebajikan haiwan.

Menurut Dr. Mohd Noor Hisham, usaha mewujudkan garis panduan tersebut dimulakan pada 2007/2008 menerusi beberapa siri bengkel melibatkan pelbagai pihak.

“Usaha mewujudkan garis panduan tersebut digerakkan berikutan tercetusnya kebimbangan di kalangan pengusaha yang menghadapi masalah premis mereka diroboh oleh PBT (pihak berkuasa tempatan),” ujarnya.

Ini kerana katanya banyak pengusaha membina premis burung walet di kawasan bandar terutama rumah kedai.

Bengkel berkenaan melibatkan pelbagai pihak yang berkaitan terutama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selain JPV.

Hasil penglibatan agensi agensi terbabit menerusi siri bengkel, JPV mengeluarkan satu garis panduan untuk dijadikan panduan kepada pengusaha dan penyelarasan undang-undang kecil diadakan.

Menurut beliau lagi antara program yang disyaratkan dalam garis panduan berkenaan ialah program pendaftaran.

Program tersebut amat penting bagi menjayakan usaha daya jejak atau tracebility yang mana pengusaha dikehendaki mendaftar butiran tertentu. Ini termasuk premis perniagaan walet mereka, lokasi ladang atau premis, nama syarikat, nama pengusaha, jumlah pengeluaran sarang, senarai produk serta persatuan disertai.

Program pendaftaran dan daya jejak itu diperkenalkan bagi menitik beratkan dua perkara penting yang diberi keutamaan oleh JPV dalam industri walet iaitu isu keselamatan makanan dan isu kawalan penyakit

Perkembangan industri burung walet yang begitu mengujakan mendorong Jabatan Perkhidmatan Veterinar memberi penekanan kepada aspek kawalan penyakit ternakan dan juga isu keselamatan makanan.

Menurut , Dr. Mohd. Noor Hisham, sebelum ini banyak aduan negara pengimport mengenai masalah sarang burung yang mereka terima mengandungi kandungan nitrat yang tinggi.

Oleh itu katanya, program daya jejak membantu pengusaha secara tidak langsung menepis tohmahan bahawa sekiranya terdapat masalah dalam industri berkenaan, perkara tersebut tidak melibatkan semua pengeluar.

“Ada tohmahan seperti kandungan nitrat yang tinggi dalam sarang burung yang mendorong kita mengambil langkah melakukan program daya jejak bagi mencari punca masalah menerusi setiap rantaian nilai pengeluaran produk, siapa pengeksport, di mana kilang dan siapa pengeluarnya,” ujar Dr. Mohd. Noor Hisham.

Malah, langkah tersebut boleh membantu memastikan sama ada benar masalah tersebut berpunca daripada negara ini atau negara pengeksport lain.

Dalam perkembangan lain, beliau juga menggesa pengusaha menubuhkan persatuan yang mewakili mereka untuk menyatakan sebarang pandangan, cadangan dan aduan kepada kerajaan.

“Pengusaha perlu ada persatuan yang kuat memandangkan persatuan yang mereka ada sekarang terlalu banyak hingga ke peringkat daerah. Oleh itu wajar mereka bergabung supaya suara lebih kuat dan di dengar,” ujarnya.

Beliau berkata, pengusaha memainkan peranan penting untuk memajukan industri tersebut hingga ke peringkat antarabangsa dan diiktiraf.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s