Kembangkan industri sarang burung walet

Posted: Disember 12, 2012 in Uncategorized

Burung walet biasanya membuat sarang di penjuru rumah.

INDUSTRI sarang burung walet (SBW) kini mengalami peningkatan mendadak apabila bilangan pengusaha bertambah dari semasa ke semasa.

Jika dahulu perusahaan produk SBW tidak begitu dikenali, kini makanan berkhasiat yang popular sejak zaman berzaman lamanya itu menjadi tumpuan negara.

SBW asalnya hanya terkenal di kalangan kaum Cina dan di negara ini penuaiannya dilakukan di gua-gua sahaja.

Antara kawasan gua yang terkenal dan terlibat dengan pengeluaran SBW pada peringkat awal ialah Gua Niah di Sarawak iaitu bermula pada tahun 1978.

Berikutan perkembangan tersebut, pelbagai usaha sedang dilakukan oleh kerajaan dan pihak-pihak tertentu untuk menarik minat lebih ramai golongan usahawan menceburinya.

Menurut Pengerusi Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu (Perdasama) Muda Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan, sebanyak 4,286 usahawan terlibat dalam industri pengeluaran SBW.

“Daripada jumlah tersebut dianggarkan hampir 20 peratus terdiri daripada pengusaha bumiputera.

“Namun penglibatan bumiputera dalam industri SBW ini masih sedikit jika dibandingkan dengan potensi produk SBW yang cerah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu majlis taklimat Peluang Niaga Dalam Industri Sarang Burung Walet yang dianjurkan bersama Perdasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), baru-baru ini

Menerusi forum tersebut, pelbagai isu dibincangkan antaranya peluang perniagaan, proses pinjaman untuk memulakan perusahaan SBW, serta pengenalan terhadap burung walet itu sendiri.

Apa itu SBW yang sebenarnya? Apakah yang dikatakan dengan burung walet dan adakah ia berbeza dengan spesies burung layang-layang?

Walet seringkali disalah ertikan sebagai burung layang-layang tetapi hakikat sebenarnya ia adalah dua spesies yang berbeza.

Burung walet berasal daripada famili Apodidae dan memiliki tabiat tidak suka bertenggek. Sarangnya boleh dimakan dan terdapat tujuh spesies semuanya.

Burung layang-layang berasal daripada famili Hirudininae, gemar bertenggek, sarangnya tidak boleh dimakan kerana ia diperbuat daripada rumput dan batu dan terdapat 74 spesies.

Terdapat hanya dua spesies burung walet yang sarangnya boleh dimakan iaitu Aerodramus fuciphagus (edible nest-swiflet) dan Aerodramus maximus (black nest-swiflet).

Kedua-dua spesies tersebut banyak ditemui di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia.

burung walet biasanya akan berada pada ketinggian 1,500 kaki dari paras laut dan kehidupan asalnya adalah di dalam gua-gua yang mempunyai kelembapan antara 80 hingga 90 peratus.

Untuk bersarang, burung walet juga memerlukan suhu sekitar 26 hingga 31 darjah Selsius dan ia kebiasaannya hidup berpasang-pasangan.

Anak burung walet yang baru menetas akan buta selama 20 hari. Apabila berusia tujuh hingga sembilan hari ia akan mula makan bolus serangga dan mula minum pada usia 10 hari.

Anak burung akan diasuh oleh ibu burung selama lima minggu di dalam sarang (peringkat tersebut dipanggil sebagai nestling) sebelum meninggalkan sarang pada usia tiga bulan (peringkat tersebut dipanggil fledgling).

Pemakanan burung walet adalah serangga dan segala aktiviti dilakukan semasa terbang kerana spesies ini tidak dapat bertenggek.

Aktiviti tersebut termasuklah aktiviti makan, minum, dan mengawan semuanya dilakukan di udara dan ia hanya akan pulang ke sarang pada waktu senja untuk berehat dan bertelur.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin berkata, kehadiran burung walet di satu-satu lokasi itu boleh dikenal pasti melalui ujian bunyian.

Jelasnya, ujian panggilan burung walet adalah satu bentuk ujian yang boleh menentukur kesesuaian sesuatu lokasi sebelum sesebuah rumah burung walet didirikan.

“JPV berperanan untuk memberikan khidmat nasihat berserta kepakaran termasuk perkhidmatan ujian bunyi panggilan burung walet kepada bakal pengusaha.

“Apabila lokasi yang tepat telah dikenal pasti, pembinaan premis boleh dilaksanakan bergantung kepada syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh JPV,” katanya.

Ujian bunyi panggilan burung walet memerlukan lokasi yang strategik dan sesuai iaitu tempat yang dikenal pasti mempunyai kehadiran burung walet.

Lokasi yang mempunyai banyak sumber makanan burung walet merupakan antara kawasan yang sesuai untuk didirikan premis untuk kediaman burung walet.

Dalam pada itu, Dr. Abdul Aziz menambah kini pengusaha SBW mampu menghasilkan sehingga 30 kilogram (kg) SBW yang mana harga bagi satu kilogram produk tersebut mencecah RM4,000 hingga RM6,000.

Katanya, permintaan terbesar bagi pasaran SBW kini tentulah negara China yang mempercayai khasiat SBW sejak ratusan tahun dahulu.

“Purata permintaan bagi seluruh dunia untuk produk SBW adalah 12,000 tan metrik setahun, namun jika dicampur pengeluaran dari semua negara-negara sekitar Asia Tenggara, kita hanya mampu menghasilkan sehingga 500 tan metrik sahaja.

“Oleh itu, peluang dalam industri SBW ini masih terbuka luas dan permintaan terhadapnya masih tinggi terutamanya dari negara China,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia di bawah MOA telah berjaya menyelesaikan isu yang berbangkit berkenaan produk SBW dengan negara China.

“Kedua-dua negara telah bersetuju dengan segala syarat dan protokol yang telah dikenakan dan kerajaan menerusi MOA akan menandatangani protokol yang mana China akan membuka semula pintu untuk menerima SBW dari Malaysia,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s