Habitat air Sungai Kerian makin pupus

ABD. Aziz Sheikh Fadzir (kanan) melepaskan peserta pertandingan kayak sempena Karnival Koperasi dan Pertandingan Sukan Air Sungai Kerian di Bandar Baharu, Kedah, baru-baru ini.

BANDAR BAHARU 8 Jan. – Kerajaan negeri Kedah diminta mengkaji semula pengeluaran permit mengorek pasir di sepanjang Sungai Kerian ekoran habitat air di sungai berkenaan kini diancam kepupusan.

Penyelaras Parlimen Kulim/ Bandar Baharu, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir berkata, kegiatan mengorek dan mengangkut pasir di sungai itu dilihat dilakukan secara berlebihan sejak beberapa bulan kebelakangan ini kerana diberikan ‘lesen besar’ oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, kegiatan tersebut bukan sahaja menyebabkan kerosakan terhadap alam sekitar tetapi turut menyebabkan punca rezeki penduduk terhalang.

“Dahulunya, penduduk yang mendiami sekitar tebing Sungai Kerian ini meraih pendapatan tinggi kerana ada udang galah dan ikan kelisa.

“Namun, sejak kebelakangan ini, punca rezeki penduduk terjejas kerana spesies tersebut diancam kepupusan kerana berpuluh-puluh permit mengeluarkan pasir sungai diluluskan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Koperasi dan Pertandingan Sukan Air Sungai Kerian (Pasak) di Dataran Bandar Baharu, di sini baru-baru ini.

Abd. Aziz yang juga Ketua UMNO bahagian itu berkata, kerajaan negeri juga wajar mengambil kira kepentingan penduduk setempat sebelum meluluskan sebarang lesen untuk mengorek pasir sungai.

“Dahulunya bila kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) mengeluarkan hanya satu dua lesen mereka bantah. Sekarang lain pula ceritanya kerana mereka sendiri utamakan hasil cukai korek pasir. Bukan sahaja satu dua lesen, tapi lebih 10 lesen diberikan sepanjang sungai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Bandar Baharu berpotensi menjadi lokasi tumpuan pelancong kerana menawarkan produk ekosistem yang baik.

“Bandar Baharu terletak di lokasi strategik kerana berdekatan dengan Lebuh Raya Utara-Selatan. Di sini terkenal dengan keenakan buah durian Kampung Relau dan hidangan mee udang serta perusahaan sarang burung walit,” katanya.

Tinggalkan komen