Perdagangan China–ASEAN rancak

Posted: Oktober 31, 2011 in walit Post

 

Oleh NORLAILI ABDUL RAHMAN
bisnes@utusan.com.my

 

KUALA LUMPUR 30 Okt – Di sebalik perdagangan dua hala yang semakin rancak di antara China dan ASEAN selepas termeterinya Perjanjian Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA), masih terdapat ruang yang luas untuk ekonomi kedua terbesar dunia itu melabur di rantau ini secara amnya dan Malaysia secara khususnya.

Berdasarkan statistik rasmi negara China, pelaburan China di Malaysia agak kecil berbanding pelaburan Malaysia di China. Sehingga kini, Malaysia telah melabur sebanyak hampir AS$6 bilion di China manakala pelaburan China di Malaysia hanya mencatat AS$500 juta.

Projek pelaburan yang dijalankan oleh China di Malaysia pula hanya tertumpu pada pembinaan infrastruktur seperti projek Jambatan Pulau Pinang Kedua.

‘‘Pelaburan masuk dari China masih belum memberangsangkan walaupun ia merupakan rakan dagang terbesar negara.

‘‘Bagaimanapun Malaysia akan meneruskan usaha untuk menarik pelaburan langsung asing dengan menyediakan pelbagai insentif secara fiskal ataupun bukan fiskal selain inisiatif-inisiatif lain direka khas bagi pelaburan bernilai tinggi,’’ kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata demikian semasa ditemuramah baru-baru ini selepas menganjurkan Seminar “Peluang-Peluang Perniagaan di Malaysia” di Chengdu, Republik Rakyat China (RRC) pada 18 Oktober lalu yang dihadiri oleh 350 orang wakil syarikat dari bandar Chengdu dan sekitarnya.

Bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan China ke Malaysia, Mustapa telah mengadakan misi galakan perdagangan dan pelaburan ke Hong Kong, Chengdu dan Beijing pada 16-20 Oktober 2011.

Sepanjang misi ini, Menteri itu telah berjumpa dengan pemimpin-pemimpin industri atau wakil-wakil syarikat di Hong Kong, Chengdu dan Beijing yang mempunyai minat dalam pelaburan sektor industri hiliran kelapa sawit, pemasaran perabot, teknologi pembersihan udara, pembangunan hartanah, industri perhotelan, akuakultur, tenaga solar, pembangunan pusat perolehan dan pengedaran antarabangsa, besi dan keluli serta operasi terminal penyimpanan kimia dan produk-produk petroleum.

Selain itu, Mustapa juga mengadakan perjumpaan makan malam dengan pelajar-pelajar dan golongan profesional Malaysia di China untuk bertukar pandangan tentang perkembangan terkini ekonomi dan politik di Malaysia.

Beliau juga telah merasmikan Malaysian Pavillion di Western China International Fair, Chengdu iaitu sebuah acara pameran perdagangan yang terbesar di wilayah barat China dan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Scomi Oilfield Services dan Kosun Machinery Ltd. semasa di Beijing.

Dalam misi tersebut, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Kesembilan Suruhanjaya Bersama Perdagangan dan Ekonomi (JETC) Malaysia-China secara bersama dengan Menteri Perdagangan RRC, Chen Deming di Beijing.

Perkara-perkara yang dibincangkan termasuk isu pengeksportan sarang burung walit ke China, pembinaan Taman Industri Malaysia-China di Qinzhou, penubuhan Kumpulan Kerja Kerjasama Ekonomi Malaysia-China, kerjasama dalam projek borong dan runcit serta industri halal.

Penubuhan Kumpulan Kerja Kerjasama Ekonomi Malaysia-China merupakan hasil daripada perjanjian kerjasama ekonomi yang ditandatangani oleh Mustapa dengan Menteri Perdagangan China semasa lawatan kerja Perdana Menteri China, Wen Jiabao ke Malaysia pada bulan April tahun ini.

Sebagai permulaan, kumpulan ini akan merangka Program Pembangunan Lima Tahun yang dijangka siap pada pertengahan tahun 2012 dan dilaksanakan pada tahun 2013.

“Walau bagaimanapun, tempoh lima tahun itu terlalu lama, dengan itu kedua-dua pihak telah mengenal pasti satu atau dua jenis kerjasama yang boleh dilaksanakan sebagai permulaan. Antaranya adalah industri halal,” kata Mustapa.

n Pembinaan Taman Industri Malaysia-China Qinzhou (QIP)

Lawatan hampir seminggu ini turut membuahkan hasil apabila kedua-dua kerajaan telah bersetuju untuk membina sebuah projek usahasama dua hala yang dikenali sebagai Taman Industri Malaysia-China Qinzhou.

Taman industri yang bersaiz 55 kilometer persegi ini akan dibangunkan di Bandar Qinzhou, Wilayah Guangxi. Projek ini akan diusahakan oleh sektor swasta kedua-dua negara dan kerajaan akan memainkan peranan untuk menyelaras dan memudahcarakan pelaksanaan projek.

Lokasi taman industri ini adalah amat strategik kerana ia terletak di kawasan Pan Beibu Gulf yang berhampiran dengan Pulau Hainan, China.

Ia juga terletak berhampiran dengan Pelabuhan Qinzhou yang merupakan satu-satunya pelabuhan di China menghadap ke rantau Asia Tenggara.

Satu majlis penandatangan minit persetujuan mengenai pembinaan Taman Industri Malaysia-China telah diadakan di Nanning pada 21 Oktober 2011 di antara Mustapa dan Wakil Perdagangan Antarabangsa China, Gao Hucheng.

Majlis ini telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri China, Wen Jiabao.

Kedua-dua Perdana Menteri juga mengesahkan bahawa Taman Industri Malaysia-China Qinzhou (QIP) akan menjadi sebuah projek ikonik kerjasama dua hala Malaysia dan China yang pertama di China.

“Projek tersebut akan dilaksanakan di dalam tiga fasa yang dijangka siap dalam tempoh 15 tahun,” jelas Mustapa.

n CAEXPO 2011 dan Persidangan Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) Kelapan.

Semasa pertemuan dua hala di antara Najib dan Jiabao di Nanning, kedua-dua mereka juga telah bersetuju untuk menyelesaikan isu-isu ekonomi dan perdagangan termasuk isu pengeksportan sarang burung walit ke China.

Menyentuh mengenai CAEXPO 2011 yang dilihat mampu menjadi platform untuk meluaskan kerjasama perdagangan dan ekonomi di antara kedua-dua negara, Mustapa memberitahu, ia merupakan usaha kolektif Malaysia untuk menunjukkan komitmen terhadap pembangunan lestari global.

Penyertaan Malaysia pada tahun ini adalah yang terbesar sejak pelancaran CAEXPO pada tahun 2004 di mana tahun ini menyaksikan Malaysia menjadi Negara Kehormat CAEXPO 2011.

Sejumlah 146 peserta Malaysia terdiri daripada syarikat swasta (128), agensi kerajaan (16) dan persatuan perdagangan (2) telah memperoleh nilai jualan sebanyak RM175.6 juta sepanjang ekspo tersebut.

Menurut Mustapa, selain produk pengilangan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) turut membawa peserta daripada syarikat-syarikat yang terlibat dalam sektor perkhidmatan seperti penjagaan kesihatan, francais, pendidikan, perkhidmatan professional dan perlindungan alam sekitar.

Antara syarikat-syarikat ternama Malaysia yang terlibat di dalam pameran perdagangan terbesar China itu adalah Sime Darby, Kumpulan Sunway, KPJ Healthcare, Salcon Engineering, Royal Selangor, Kumpulan Berjaya, Maskargo, Malaysia Airport Bhd., Taylor’s University, Mamee, Nagamas, Nelson’s Perfect Food dan Kolej Universiti Binary.

Dalam Majlis Perasmian CAEXPO, Perdana Menteri selaku pemimpin Negara Kehormat telah menyampaikan ucaptama mengenai perkembangan ekonomi terkini rantau ASEAN-China dan menyeru ASEAN dan China untuk menghadapi krisis ekonomi global secara bersama melalui jalinan kerjasama ekonomi yang lebih erat.

Najib dan Jiabao kemudiannya telah bersama-sama merasmikan City of Charm – Johor.

Beliau juga turut menyaksikan pertukaran lapan memorandum persefahaman/kontrak di antara syarikat-syarikat Malaysia dan China semasa perasmian Pavillion Malaysia dan Dialog Meja Bulat CABIS.

Perdana Menteri juga telah menerima kunjungan kehormat Presiden Bank of China, Li Lihui dan membincangkan peluang-peluang kerjasama dalam bidang perniagaan dan kewangan.

Secara keseluruhannya, misi galakan perdagangan dan pelaburan ke China telahberjaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Ini merupakan kali pertama Mustapa mengadakan misi ke Bandar 2nd tier seperti Chengdu dan Nanning dan didapati bahawa syarikat-syarikat yang ada di kawasan ini amat berpotensi dan mempunyai minat yang tinggi untuk melabur di Malaysia.

MITI akan terus berusaha untuk mengadakan misi galakan perdagangan dan pelaburan ke bandar-bandar 2nd tier dan 3rd tier pada masa-masa akan datang bagi memperluaskan peluang eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia ke China di samping menarik pelabur republik itu ke Malaysia.

Misi sebegini akan memberi keyakinan dan membuka mata kepada syarikat-syarikat China untuk melabur di Malaysia.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s