Dasar Agromakanan diperkenal

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my
NOH Omar menyampaikan sijil Anugerah Khidmat Cemerlang kepada salah seorang kakitangan kementeriannya, Zulkifli Yaacob di Wisma Tani, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/HANAFI KHAMIS

PUTRAJAYA 19 Julai – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memperkenalkan Dasar Agromakanan Negara (DAN) untuk menggantikan Dasar Pertanian Negara bagi tempoh 10 tahun bermula tahun ini hingga 2020.

Ia demi menjamin bekalan makanan negara terus mencukupi dan selamat.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, dasar baru bagi menggantikan Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) yang berakhir tahun lalu itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri secepat mungkin untuk diluluskan kerana ia mampu memberi impak besar kepada sektor pertanian negara.

‘‘Kerajaan memperuntukkan RM1.6 bilion bagi tempoh dua tahun untuk merancakkan sektor pertanian menerusi DAN yang menumpukan kepada tanaman padi, sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan, perikanan selain penekanan kepada industri baru seperti burung walit, rumpai laut dan ikan hiasan.

‘‘Menerusi DAN, kita mahu menjamin bekalan makanan yang bukan sahaja mencukupi tetapi makanan itu selamat dimakan manakala industri agro makanan menjadi industri yang mampan dan mampu bersaing,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 131 warga kementeriannya di sini, hari ini.

Menurut Noh, DAN bakal menjadi sumber rujukan dan panduan jabatan serta agensi di bawah kementerian itu untuk melaksanakan pelbagai program dan projek.

Jelas beliau, DAN hanya melibatkan sektor pertanian dan bukannya komoditi seperti kelapa sawit, getah dan koko kerana ia hanya tertumpu kepada sektor makanan.

Noh berkata, sejajar dengan hasrat meningkatkan sumber pendapatan para petani menjelang negara maju tahun 2020, para petani perlu mempelbagaikan jenis tanaman di atas tanah pertanian masing-masing.

Sebagai contoh, katanya, penanam kelapa perlu menanam jagung dan kacang tanah sebagai tanaman sampingan manakala nelayan turut digalakkan menternak ikan dalam sangkar atau dalam kanvas.

‘‘Jika dulu petani dan nelayan lebih tertumpu kepada tanaman sara diri tetapi sekarang kita kena besarkan jadi tanaman komersial, kita mahu memaksimumkan kegunaan tanah itu,” katanya.

Menurut beliau, terdapat nelayan di Sabah yang turut melakukan aktiviti sampingan lain iaitu menternak cacing yang mampu mencipta ekonomi tambahan dan memberi pendapatan cukup lumayan.

Beliau menambah, kerajaan boleh mengurangkan import kelapa yang mencecah RM300 juta pada tahun lalu jika para petani menanam pokok kelapa baru pada skala besar.

Tinggalkan komen