Sektor pertanian, penternakan negara perlu transformasi Oleh Magendran Rajagopal magendran@bharian.com.my

Posted: November 25, 2010 in Uncategorized

2010/08/06Industri bernilai tinggi mampu bawa pulangan lumayan jika diusaha secara strategik, penuhi permintaan pasaran antarabangsa

SASARAN kerajaan bagi menzahirkan transformasi meningkatkan status daripada negara membangun kepada negara maju menjelang 2020 secara tidak langsung mencetuskan keghairahan untuk maju dalam hampir semua sektor, baik perusahaan, perindustrian, pengilangan atau pembuatan

Namun, minat yang sama tidak ditunjukkan dalam sektor pertanian, walaupun ia dikenal pasti sebagai bidang yang mampu membawa pulangan lumayan jika diusahakan secara strategik berdasarkan permintaan pasaran global semasa.Menyedari hakikat itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin, mengorak langkah menggalakkan pengusaha pertanian dan penternakan negara memberi tumpuan kepada industri bernilai tinggi selain memberi nilai tambah kepada sektor tradisional yang tidak lagi berdaya saing.

“Pada dasarnya, kita tidak boleh bersaing dengan kebanyakan negara asing dari segi pertanian kerana kos operasi selain upah tenaga kerja di sini agak tinggi dan sukar bagi kita menandingi mereka dari segi harga pasaran.

“Justeru, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mahu menggalakkan pengusaha bidang penternakan dan pertanian negara memilih komoditi bernilai tinggi yang boleh kita kawal selia bekalan dan pasarannya, sekali gus menetapkan harga berdasarkan permintaan semasa.

“Tiga sektor tumpuan buat masa sekarang ialah ternakan ikan hiasan, pemerosesan rumpai laut dan sarang burung walit, selain menggalakkan industri hiliran seperti pemprosesan makanan, pembuatan baja dan makanan ternakan,” katanya.
Pendekatan itu selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mahukan gaji perkapita penduduk berlipat ganda daripada AS$7,000 (RM24,500) setahun kepada AS$15,000 (RM52,500) di bawah Model Baru Ekonomi (MBE) yang beliau ilhamkan.

Sehubungan itu, Dr Abd Aziz berkata, kegiatan sosioekonomi dan perniagaan tani akan memberi tumpuan kepada penyelidikan ekonomi ladang penternakan, kajian kesan sosioekonomi program penternakan JPV, khidmat perundingan dan kepakaran berdasarkan hasil penyelidikan JPV.

Dalam penternakan sarang burung walit umpamanya, Malaysia adalah pengeluar ketiga terbesar dunia tahun lalu dengan jualan mencecah RM1 bilion atau enam peratus daripada keseluruhan penghasilan komoditi terbabit pada peringkat global.

Malaysia dilihat sebagai mempunyai kelebihan dalam sektor ini kerana amalan pertanian baik dan keupayaan mengesahkan status halal membolehkan negara menembusi pasaran bukan tradisional seperti Asia Barat dan India bagi memasarkan produk berasaskan sarang burung walit.

Sehubungan itu, Dr Abd Aziz berkata, kerajaan sudah memperkenalkan garis panduan perusahaan sarang burung walit bagi menjadikannya industri yang mampu menjana pendapatan RM5 bilion setahun menjelang 2020.

Garis panduan yang dikenali sebagai ‘1GP’ itu akan mempermudahkan pelesenan yang membabitkan kelulusan JPV, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pertanian, Jabatan Warisan, pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan Perlindungan Hidupan Liar (PERHILITAN) dan Jabatan Kesihatan.

“Dari segi pembiayaan, saya difahamkan Agrobank menyediakan skim pinjaman berjumlah RM68 juta khusus bagi sektor ini dan JPV sedia menawarkan khidmat nasihat dari segi pembinaan rumah burung walit yang dianggar berharga sekitar RM30,000 setiap satu.

“Kita galakkan mereka yang kurang berkemampuan supaya mengusahakan projek ini secara berkelompok kerana pulangan lebih lumayan untuk kerja yang agak ringan, sekali gus membolehkan mereka turut mengusahakan pekerjaan lain.

“Sarang burung walit yang belum diproses bernilai antara RM3,000 dan RM7,400 sekilogram, manakala yang diproses boleh dijual antara RM10,000 hingga RM18,000 sekilogram. Pasaran utama sekarang ialah China, Hong Kong, Singapura dan Taiwan,” katanya.

Penternakan ikan hiasan pula dicatat sebagai industri yang paling pesat perkembangannya dalam sektor pertanian dengan 95 peratus pengeluaran negara dieksport. Walaupun bersaiz kecil dengan pengeluaran domestik bernilai RM80 juta pada harga ladang, ia mempunyai profil antarabangsa.

Katanya, eksport ikan hiasan adalah satu lagi sektor yang diberi penekanan khusus oleh JPV supaya menepati piawaian antarabangsa berikutan permintaan tinggi di luar negara, terutama di negara Kesatuan Eropah (EU).

Dr Abd Aziz berkata, Malaysia adalah pembekal ikan hiasan ketiga terbesar dunia selepas Singapura dan Indonesia dengan pegangan sekitar tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan eksport global.

Malaysia tidak dapat menguasai pasaran eksport sepenuhnya, lebih-lebih lagi selepas EU melarang import spesies ikan koi dan ikan emas mulai Julai 2008 kerana tidak mematuhi garis panduan bio sekuriti.

Kedua-dua spesies itu saja membentuk 60 peratus daripada eksport keseluruhan ikan hiasan Malaysia berjumlah RM29.2 juta ke EU. Sebelum larangan itu berkuat kuasa, Malaysia mengeksport ikan hiasan bernilai RM96.1 juta ke seluruh dunia, termasuk RM18.5 juta ke EU.

“Negara masih bergantung kepada Singapura sebagai pasaran kerana kemudahan logistik yang cekap, banyak dan murah bagi mencapai pasaran eksport di Jepun, Hong Kong, Amerika Syarikat dan EU.

“Kebanyakan ikan tropika yang popular diternak di sini dan mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa. Dalam tempoh 10 tahun, industri ini mencatatkan pertumbuhan tahunan 43 peratus pada harga ladang dengan potensi meningkat lagi.

“Justeru, kita juga perlukan usahawan tempatan menceburi aspek logistik dan R&D berkaitan ikan hiasan tanpa hanya bertumpu kepada penternakan kerana sudah muncul saingan baru seperti China, Taiwan dan Thailand,” tegas beliau.

Bagi pengeluaran rumpai laut pula, Dr Abd Aziz berkata, ia boleh menjadi pendapatan sampingan bagi nelayan, terutama apabila tidak boleh turun ke laut ketika musim tengkujuh, malah mungkin membawa pulangan lebih tinggi berbanding pekerjaan tetap mereka.

Beliau berkata, anggaran pendapatan nelayan yang mengusahakan penanaman rumpai laut menggunakan ladang seluas 0.4 hektar ialah antara RM450 hingga RM1,500 sebulan.

Rumpai laut atau nama saintifiknya euchema cottonii atau euchema kappayachus alvarezii adalah tumbuhan akuatik yang hidup terapung di permukaan air laut dan kini banyak diusahakan di pesisiran pantai Semporna, Sabah.

Ekstrak rumpai laut diproses bagi menghasilkan ‘carrageenan’, yang antara lain, digunakan sebagai bahan campuran dalam industri pembuatan cat, syampu, dakwat, tekstil, penyembur serangga, ejen pembersih, sebagai pengikat dalam industri pembuatan bahan letupan, bahan pengembang dalam industri makanan, industri farmasi (pengikat ubatan) serta bahan kosmetik.

Selain disokong pihak berkuasa perikanan Sabah, kerajaan juga mengisytiharkan industri rumpai laut sebagai ‘berimpak tinggi’ dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) dan daerah Semporna saja disasar menghasilkan 250,000 tan rumpai laut pada tahun ini.

Dr Abd Aziz juga menekankan bahawa sektor pertanian dan penternakan negara perlu menjalani transformasi dengan menerima pakai perkembangan teknologi terkini dan sentiasa meneroka bidang atau produk baru untuk diperkenalkan.

Katanya, JPV sedia membantu dari segi kepakaran, teknologi dan guna sama tenaga bagi memastikan apa yang diusahakan itu bernilai tinggi serta menepati piawaian antarabangsa dan bukan sekadar memenuhi permintaan dalam negara saja.

Beliau juga menggalakkan usaha tani atau usaha ternak dipromosikan sebagai industri kampung yang boleh diusahakan secara bersepadu menerusi koperasi membabitkan semua penduduk setempat bagi mengatasi masalah pembiayaan atau tenaga kerja.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s