Penduduk 5 kampung bantah ternakan burung walit

Posted: November 25, 2010 in Uncategorized

 

2010/11/22

KULIM: Lebih 1,200 penduduk dari lima kampung di Mukim Sidam, Padang Serai dekat sini, berkata mereka berdepan kesukaran akibat kegiatan industri burung walit yang menghasilkan bunyi bising selain kenderaan berat syarikat burung walit berkenaan yang menyebabkan jalan kampung mereka rosak.

Mereka adalah penduduk yang tinggal di Kampung Paya Ketiau, Kampung Tengah Lesung Tujuh, Kampung Teluk Binu, Kampung Sidam Kanan dan Kampung Bukit Sidam yang menggunakan jalan kampung dari Taman Damai, Pekan Padang Serai dan kawasan sekitar sejauh 2.5 kilometer.

Hari ini lebih 50 penduduk mengadakan demonstrasi secara aman sebagai bantahan terhadap pengusaha ternakan burung walit di sebuah tapak lokasi baru yang dicadangkan didirikan sebuah bangunan di Kampung Paya Ketiau.Jurucakap kumpulan itu, Md Yusof Nik Din, 52, berkata kegiatan menternak burung berkenaan bermula dengan aktifnya pada 2008.
“Sejak itulah jalan kampung di sini menjadi mangsa lori beroda enam berulang-alik untuk membawa barang-barang peralatan pembinaan,” katanya kepada pemberita selepas demonstrasi 15 minit itu.

Sepasukan anggota polis diketuai Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Daerah Polis Kulim, ASP Hamdan Basiron, mengawasi demonstrasi berkenaan bagi memastikan sebarang perkara yang tidak diingini tidak berlaku.

Md Yusuf yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Paya Ketiau, berkata dengan kerjasama beberapa Pengerusi JKKKP sekitar kawasan terbabit, mereka telah menulis surat kepada beberapa jabatan kerajaan yang terbabit menyatakan kekesalan mereka dan meminta supaya tindakan sewajar diambil.
Katanya, cuma dua jabatan sahaja iaitu Pejabat Tanah Kulim dan Pejabat Kesihatan sahaja yang menjawabnya tetapi hanya sekadar melepas tangan sementara jabatan yang lain tidak memberi sebarang tindakan.

Md Yusuf berkata, ketika ini terdapat sembilan bangunan memelihara burung itu dan tiga lagi akan dibina di sekitar tempat tinggal penduduk.

“Kami kesal kerana pihak berkuasa tempatan boleh mengeluarkan lesen kepada bangunan yang dibina sekitar tidak sampai pun 100 meter jaraknya dengan rumah kediaman kami,” katanya.

Pekerja kilang Jaafar Man, 47, dari Kampung Paya Ketiau, berkata empat orang anaknya yang masih bersekolah tidak dapat belajar dengan sempurna antara 7 malam dan 10 malam setiap hari kerana bunyi yang kuat daripada rakaman suara burung yang dipasang di situ.

Pengerusi JKKKP Kampung Tengah Lesung Tujuh Yusuf Abdul Rahman, 65, pula berharap tindakan segera diambil pihak berwajib mengatasi masalah di situ.

“Semakin banyak bangunan memelihara burung ini didirikan semakin merugikan penduduk di situ,” katanya. – BERNAMA

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s