600 penduduk tarik nafas lega

Posted: Oktober 14, 2010 in Uncategorized
Oleh MARZITA ABDULLAH
utusanperlis@utusan.com.my
 

Mat Rawi Kassim (kanan) melawat kawasan perumahan yang tidak diselenggara lebih 20 tahun di Taman Beseri Jaya, Beseri, Padang Besar, semalam. Turut bersama Rosley Mat (dua dari kiri).

 


PADANG BESAR 1 Okt. – Selama 32 tahun penduduk Taman Beseri Jaya tidak menikmati penyelenggaraan yang sempurna daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga menyebabkan banyak kejadian tidak diingini berlaku di taman perumahan itu.

Antaranya termasuk peningkatan kes demam denggi akibat longkang yang tidak pernah diselenggara, pembiakan nyamuk aedes yang berleluasa berikutan kawasan semak yang telah menjadi belukar termasuk kejadian kanak-kanak jatuh ke dalam longkang takungan air yang tidak ditutup jeriji.

Hari ini kira-kira 600 penduduk taman perumahan itu merasa lega dengan kehadiran Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Rosley Mat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Mat Rawi Kassim yang bersedia untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Menurut Mat Rawi, rungutan dan kesulitan yang dialami oleh penduduk taman perumahan tersebut telah banyak kali dikemukakan kepada pihak MPK namun tidak pernah mendapat maklum balas.

Katanya, sebagai ADUN di kawasan tersebut, beliau turut mengeluarkan peruntukan untuk membantu penduduk berkenaan termasuk membina pagar di sekitar longkang bagi menjaga keselamatan penduduk terutama kanak-kanak.

“Namun kita juga mahu pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab terhadap masalah ini dan hari ini kita merasa gembira kerana Yang Dipertua baru MPK telah sudi untuk membantu penduduk di taman ini,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Perhutanan, Alam Sekitar dan Sumber Asli dan Penguatkuasaan negeri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sekitar taman berkenaan kira-kira sejam bersama-sama Rosley, Ketua MCA kawasan Beseri Jaya, Tan Kent Chok dan penduduk taman itu di sini hari ini.

Mat Rawi menegaskan, penduduk di taman itu wajar menikmati penyelenggaraan yang sempurna kerana mereka mematuhi pembayaran cukai yang ditetapkan oleh PBT.

“Selain masalah penyelenggaraan, penduduk di sini juga menghadapi masalah bunyi bising yang disebabkan oleh penternakan burung walit secara haram di bangunan rumah kedai berhampiran rumah penduduk ini,” katanya.

Menurut beliau, rungutan bukan sahaja dibuat oleh penduduk berkenaan malah turut dikemukakan oleh orang awam yang berdekatan termasuk pihak Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terletak berhampiran.

Dalam pada itu, Rosley berkata, penyelenggaraan di kawasan itu sewajarnya dilakukan oleh kontraktor yang dilantik iaitu syarikat E-Idaman.

“Bagaimanapun apa yang kita lihat di sini, pihak berkenaan tidak menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.

Beliau berkata, langkah pertama MPK adalah menyelesaikan masalah longkang tersumbat termasuk pembersihan kawasan belukar kerana ia telah menyebabkan peningkatan kes demam denggi di taman perumahan itu.

“Kita akan lakukan secara berperingkat-peringkat namun kita perlu mendapat bantuan penduduk di sini untuk bersama-sama bergotong royong membersihkan kawasan rumah masing-masing,” katanya.

Selain itu, kata beliau, MPK akan memanggil syarikat E-Idaman bagi meminta penjelasan terhadap masalah yang berlarutan termasuk penjadualan penyelenggaraan di kawasan itu.

Mengenai penternakan burung walid secara haram itu, beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai peruntukan undang-undang bagi membolehkan tindakan diambil terhadap penternak berkenaan kerana ia masih dalam proses penggubalan kabinet.

Menurut Rosley, kegiatan tersebut kini berleluasa di negeri ini dengan lebih 200 premis dikenal pasti menjalankan kegiatan itu kebanyakan dilakukan di kawasan pesisir pantai dan rumah-rumah yang telah ditinggalkan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s